Seminar Separuh Hari Pembangunan Ubatan Herba Bernilai Tinggi

Sejarah, Warisan dan Masa Depan

Produk herba bernilai tinggi adalah sumber ekonomi baru Negara yang diberi keutamaan dalam inisiatif NKEA. Pembangunan produk herba bernilai tinggi memerlukan integrasi ilmu dan kepakaran bidang farmaseutikal, perubatan, bioproses, kimia analisis, bioteknologi, botani, pemasaran dan lain-lain. Bidang ini memberi impak besar kepada keselamatan ubatan Negara di masa akan datang. Sejarah telah membuktikan bahawa alam Melayu mempunyai sistem perubatan herba tradisional yang sangat komprehensif dan kajian saintifik telah membuktikannya.

IMB berbesar hati menjemput semua warga UMT untuk menimba ilmu tentang ubatan herba bernilai tinggi yang akan dibentangkan oleh Dr Ghani Hussain (Doktor Perubatan/Pengkaji Ubatan Herba Tradisional Melayu) dan Prof Dr Fadzilah Adibah abdul Majid (penyelidik pembangunan ubatan herba bernilai tinggi).

Dr Ghani akan berkongsi ilmu tentang ubatan herba dari perspektif seorang doktor perubatan. Dr Ghani akan membentangkan dua ceramah bertajuk 1) Sejarah ubatan tradisional Melayu dan 2) Penggunaan ubatan herba dalam perubatan moden.

Prof Dr Fadzilah Adibah abdul Majid akan kongsikan halatuju industri ubatan herba dunia dan pengalaman hasil kajian berkaitan pembangunan ubatan herba bernilai tinggi menggunakan ramuan ubatan herba tradisional Melayu.

Seminar separuh hari ini terbuka kepada semua warga UMT. Penyelidik, pelajar

 

Biodata Dr. Abdul Ghani Hussain MBChB,

Dr. Abdul Ghani Hussain, anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman. Memperoleh ijazah kedoktoran dari Cairo University, Egypt pada tahun 1977. Beliau pernah berkhidmat sebagai pakar bedah di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Daerah Bukit Mertajam, Hospital Swasta di Damansara Utama, dan akhirnya membuka klinik perubatan di Pulau Langkawi pada tahun 1984-2006. Beliau juga telah mereka bentuk Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Malaysia. Pada tahun 2006, Dr Ghani meninggalkan dunia perubatan moden dan beralih arah kepada perubatan Tradisional Melayu dan Perubatan Islam. Keupayaan memahami dua ilmu perubatan moden dan tradisional ini sangat unik dan membolehkan beliau menjadi Ketua Perunding Herbwalk Consultancy yang terlibat dalam membentuk kurikulum Sarjana Muda Perubatan Melayu untuk Cyberjaya University College of Medical Sciences. Dr Ghani juga merupakan pakar runding kepada beberapa syarikat seperti BioPharma Sdn Bhd, Biopropics (M) Bhd, Pahang Bioscience Sdn Bhd, One Drop Perfume dan pakar rujuk bidang ubatan herba kepada FRIM, IMR dan USM. Beliau telah menulis sebanyak 270 monograf tumbuhan herba, penulis buku MSS2999 kitab Tib, Taman Herba jilid 1 dan 2, Humble Weeds of Penang Hill, Nature’s Medicine volume 1 (a) Weeds, Medicinal Plants of Lubuk Semilang dan timbers of Lubuk Semilang. Dr Ghani aktif memberi ceramah tentang ubatan herba dalam pelbagai seminar dan persidangan berkaitan herba. Walaupun sibuk degan dunia ubatan herba, Dr Ghani juga merupakan CEO syarikat Progenitor Cells Technologies Sdn Bhd yang memfokuskan kepada perubatan menggunakan teknologi terapi sel dan merupakan ahli aktif kepada beberapa pertubuhan terapi sel di luar Negara.

UNTUK LAGI MAKLUMAT BERKAITAN DR. ABDUL GHANI, BOLEH KLIK LINK DI BAWAH

Biodata Dr. Abdul Ghani Hussain MBChB

 

Biodata Prof Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid

Prof Dr Fadzilah Adibah adalah seorang saintis yang dedikasi dan bergiat aktif untuk memartabatkan industri perubatan berasaskan herba di Malaysia. Beliau menerajui beberapa projek penyelidikan penting yang dibiayai oleh Dana NKEA-EPP1-High Value Herbal Products di Bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia. Antara projek yang sedang berjalan ialah Kajian Pra –Klinikal dan Klinikal produk Synacinn untuk penyakit kencing manis yang menelan belanja jutaan ringgit Malaysia. Beliau juga meneraju projek-projek ubatan herba bagi penyakit barah, arthritis dan lain-lain. Beliau juga membangunkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikan menggunakan herba dan buah-buahan yang selamat dan berkesan.

Kepakaran beliau dalam bidang herba diberi pengiktirafan dengan lantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan dan Kemajuan Program di bawah NKEA EPP1 mulai tahun 2017 dan pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa ‘Cosmetic Scientific Expert Committee’ sejak 2010 dan berkhidmat sebagai pemerhati di mesyuarat peringkat ASEAN di bawah Biro Pengawalan Pharmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Malaysia dan pernah berkhimat sebagai ahli jawatankuasa Halal Johor.

Dalam tempoh 23 tahun perkhidmatan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dan sekarang ini di UMT, beliau telah menyelia projek penyelidikan kepada lebih seratus pelajar sarjana muda, 34 pelajar sarjana dan 16 pelajar doktor falsafah. Kumpulan penyelidikan beliau telah menghasilkan ratusan thesis penyelidikan dan jurnal saintifik peringkat antarabangsa. Malah 5 produk herba ubatan hasil penyelidikan beliau telah pun dikomersilkan.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi, Prof Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid  (f.adibah@umt.edu.my)