UMT meneruskan usaha inovasi sosial membangunkan komuniti apabila melancarkan projek penyelidikan translational iaitu Program Pemeliharaan Kuda Laut dan Belangkas Untuk Komuniti Setiu pada hari ini. Program ini merupakan perkongsian ilmu dalam membangunkan komuniti setempat dan merupakan salah satu projek yang menepati kerangka sasaran capaian masyarakat dalam pembangunan negara selari dengan perancangan TN50.

Majlis pelancaran projek penyelidikan translational ini telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia bertempat di Perkarangan Jeti Gong Batu, Setiu Wetlands, Setiu, Terengganu. Turut hadir di majlis tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT.

Projek Pemeliharaan Kuda Laut Untuk Komuniti Setiu

Projek ini merupakan projek berteraskan perkongsian ilmu dalam membangunkan komuniti setempat dan merupakan salah satu projek yang menepati kerangka sasaran capaian masyarakat dalam Pembangunan Negara selari dengan perancangan TN50. Projek Penyelidikan ini diketuai oleh Prof. Dr. Effendy Abd. Wahid bersama-sama 9 orang terdiri daripada Penyelidik Bersama dan Pembantu Penyelidik (Pengurusan dan Teknikal). Komuniti yang terlibat adalah berjumlah 100 buah keluarga dan dijangka akan memperoleh manfaat dari segi pendapatan sebanyak RM4,500.00 sebulan untuk setiap satu keluarga.

Projek Lestari Belangkas UMT Berasaskan Komuniti

Projek Penyelidikan Belangkas ini diketuai oleh  Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail bersama-sama 5 orang terdiri daripada Penyelidik Bersama dan Pengurus Projek. Ianya dikenal pasti berpotensi sebagai produk eko-pelancongan dan perubatan- kit mengesan endotoksin sekaligus memberi impak kepada komuniti setempat dari segi peningkatan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan nelayan (penjualan Belangkas). Belangkas juga merupakan spesi haiwan eksotik yang hampir pupus namun melalui projek ini akan meningkatkan populasi Belangkas (konservasi). Bilangan komuniti yang akan terlibat adalah seramai 205 orang penduduk dari 14 buah kampung meliputu 4 mukim yang terpilih.

 

 

 

 

 

Community Based Translational ProjectUMT-KPT at Setiu, Terengganu